Kutipan zakat Pulau Pinang rekod peningkatan memberangsangkan

Admin
3a886044 e3fa 455e b09d cdd006766f0f

GEORGE TOWN – Prestasi kutipan zakat di Pulau Pinang terus mencatat peningkatan memberangsangkan apabila merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM202.48 juta bagi tahun 2025.

Teks penggulungan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang dibaca oleh Teks penggulungan beliau yang dibaca oleh Exco Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah agihan zakat turut meningkat kepada RM200.11 juta berbanding RM162.13 juta pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 23 peratus.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat, malah memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela.

“Pada masa sama, ia turut membantu memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah secara lebih menyeluruh dan mampan,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pengurusan zakat bagi memastikan hasil kutipan dapat diagihkan secara lebih cekap, telus dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN