200 murid terima kelengkapan sekolah

AIR ITAM – Seramai 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan pakaian sekolah hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai di sini baru-baru ini.

Jelas Hon Wai, sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah untuk membeli pakaian sekolah untuk anak-anak mereka.

“Ini merupakan kali pertama golongan ini menerima sumbangan dalam bentuk pakaian seragam sekolah berserta kelengkapan lain seperti kasut putih.

“Sebelum ini, mereka hanya menerima baucar dan inisiatif tersebut tidak dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Menurut Hon Wai, sumbangan tersebut merupakan tanggungjawab sosial pihaknya bagi menyumbang kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum kerana kita hidup dalam komuniti masyakarat majmuk.

Sementara itu, katanya, pihak sekolah juga memainkan peranan dengan memaklumkan kepadanya tentang murid-murid yang kurang bernasib baik ini.