Tandas awam Pasar Air Itam terima taraf lima bintang

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Pihak pengurusan tandas awam Pasar Awam Air Itam yang baru-baru ini memperoleh penarafan lima bintang oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan terus mempertingkatkan kerja dalam aspek kebersihan, keceriaan dan keselesaan selaras dengan aspirasi Pulau Pinang untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia kepada semua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai yang hadir pada Majlis Khas Meraikan Penerimaan Penarafan Lima Bintang baru-baru ini berkata, kejayaan tersebut (penarafan lima bintang) akan menjadi inspirasi kepada kami untuk terus meningkatkan usaha bagi memastikan tandas-tandas di kawasan sekitar berkeadaan baik, selesa dan ceria,” katanya.

Tambah beliau, MPPP telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk menaiktaraf tujuh tandas awam di Pulau Pinang termasuk di Pasar Awam Batu Maung, Batu Lanchang, Jelutong, Pulau Tikus, Lebuh Cecil dan Batu Uban.

“Kerja-kerja menaiktaraf hampir selesai kecuali di Pasar Awam Jelutong dan Pulau Tikus yang dijangkakan selesai hujung tahun ini,” ujar Hon Wai.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong yang turut hadir berkata, kesemua 60 buah tandas yang terdapat di bahagian pulau telah menerima kelulusan menaiktaraf dan hanya tandas awam di Pasar Awam Air Itam yang menerima penarafan lima bintang.

“Sebenarnya hal ehwal tandas merupakan komponen yang amat dititikberatkan dalam pengurusan pasar awam dan pihak terbabit telah membuktikan bahawa usaha masing- masing berhasil dan diiktiraf hari ini.

“Sejumlah RM300,000 disediakan tahun hadapan untuk menaiktaraf lebih banyak tandas awam di negeri ini,” kata Ah Teong.