TELOK AYER TAWAR – Bagi meringankan beban ditanggung waris-waris sepanjang menjaga ibu bapa mereka yang uzur, sumbangan RM1,000 (setiap seorang) melalui Program Penghargaan Warga Emas (sumbangan khairat kematian) peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Telok Ayer Tawar telah diadakan di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, sejumlah 23 waris warga emas telah menerima sumbangan khas Kerajaan Negeri. Majlis penyampaian disempurnakan Pegawai Penyelaras KADUN, Salehin Mohamed.
Salehin yakin bahawa sumbangan tersebut dapat membantu para waris dalam pengurusan jenazah dan kenduri doa selamat bagi orang Islam.
“Malah, sumbangan RM1,000 ini juga dapat meringankan beban yang telah ditanggung selama ini,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pengurusan Jenazah KADUN Telok Ayer Tawar di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Salehin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada petugas-petugas yang telah bertungkus lumus memastikan majlis tersebut berjalan lancar.
“Terima kasih juga kepada Penghulu Kanan, Basri Abdul Hamid dari Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara dan Penghulu Kawasan Telok Ayer Tawar, Alias Mid kerana sudi hadir bagi menjayakan program ini,” ujar Salehin.