‘Hentikan penipuan kejam’ – Betty Chew

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng (Betty) yang juga isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang mendesak Presiden MCA supaya menghentikan penipuan kejam berhubung penyebaran fitnah, ‘hubungan rahsia suaminya dengan bekas kakitangan’, terhadap dirinya dan suami beliau (Ketua Menteri) yang tidak bersalah.

Malah, beliau turut menyifatkan serangan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Gan Tian Loo sebagai tindakan pengecut seperti seekor tikus yang lari menyeberangi jalan (the rat running across the street) apabila tidak berani mengulangi kenyataan dan dakwaan yang dibuat di luar Dewan Undangan Negeri Melaka kerana ‘takut’ didakwa di mahkamah.

Betty dalam pada itu turut menggesa isteri Presiden MCA (Datuk Seri Chua Soi Lek) supaya menghentikan kekejaman daripada suaminya dan patut menasihati (suaminya) bahawa semua wanita Malaysia tidak akan memaafkan Soi Lek kerana membenarkan MCA meneruskan kekejaman penipuan sebegini terhadap seorang wanita yang tidak bersalah dan keluarganya.

“Saya ingin mengulangi bahawa suami saya (Lim Guan Eng) tidak mempunyai hubungan sulit dengan bekas kakitangannya (Ng Phaik Kheng) dan saya berulang kali menyatakan bahawa saya tidak pernah bergaduh dengan wanita tersebut atau memukul sesiapapun sepanjang hidup saya kecuali anak-anak (saya) untuk proses pembelajaran mereka,” katanya sambil membacakan kenyataan akhbar pada sidang media Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-4 George Town Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ‘Live Heritage’ di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco-exco Kerajaan Negeri.

Betty memberitahu, beliau berasa kesal apabila penipuan tersebut merupakan fitnah kedua yang dilemparkan buat keluarganya yang mana sebelum ini membabitkan salahlaku seksual terhadap salah seorang anak lelakinya.

“Kini, suami saya (Guan Eng) pula yang menjadi mangsa fitnah apabila dikatakan mempunyai hubungan rahsia dengan seorang bekas kakitangannya,’’ ujarnya.

BETTY Chew Gek Cheng (depan, kanan) dan Ketua Menteri menaiki beca sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-4 George Town Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ‘Live Heritage’ di sini baru-baru ini.
BETTY Chew Gek Cheng (depan, kanan) dan Ketua Menteri menaiki beca
sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-4 George Town Sebagai
Tapak Warisan Dunia UNESCO ‘Live Heritage’ di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Betty menyatakan bahawa tuduhan tersebut sengaja dilemparkan dengan niat untuk memusnahkan reputasi keluarga dan menjejaskan anak-anaknya.

“Gan (Tian Loo) cuba lari daripada tanggungjawab selepas memfitnah saya dan suami saya. Adakah ini gaya politik MCA? Kenapa sehingga kini MCA tidak dapat menunjukkan bukti bahawa saya memukul seseorang?.

“Malah, saya amat kecewa apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (Soi Lek) tidak mencari kebenaran melalui fakta tetapi sebaliknya turut terus menyerang dan mencemarkan suami saya.

“Chua (Soi Lek) sepatutnya mengetahui impak terhadap anak-anak, tambahan pula ianya adalah satu penipuan. Ini kerana mereka sendiri mempunyai masalah sebegini, mereka fikir orang lain juga adalah sama. Suami saya adalah betul, beliau bukan Chua Soi Lek,” tegas Betty