SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM300,000 menerusi Geran Mutiara MADANI kepada 27 koperasi di negeri ini bagi memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan kapasiti operasi serta merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penyaluran geran berkenaan merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong gerakan koperasi supaya terus berkembang sebagai pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat.
Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh koperasi penerima, khususnya untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik operasi perniagaan, memperluas jaringan pasaran serta meneroka peluang ekonomi baharu yang mampu menjana pendapatan kepada anggota.
“Geran ini bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan satu bentuk sokongan Kerajaan Negeri bagi membantu koperasi memperkukuh perniagaan, meningkatkan keupayaan operasi dan berkembang secara mampan dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.
“Kita berharap setiap koperasi penerima dapat memanfaatkan peruntukan ini dengan sebaik-baiknya bagi meningkatkan daya saing serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Sesi Penyerahan Cek Cura Geran Mutiara MADANI kepada 27 koperasi di Pulau Pinang sempena Festival Koperasi Pulau Pinang yang berlangsung di Masjid Sembilang, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi berkata, gerakan koperasi mempunyai peranan penting dalam membangunkan ekonomi masyarakat berasaskan semangat kebersamaan, kerjasama dan keusahawanan.
Jelasnya, koperasi bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan taraf ekonomi anggota, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui pengembangan aktiviti perniagaan dan penciptaan peluang pendapatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian terhadap usaha memperkasa sektor koperasi agar lebih berdaya saing, progresif dan berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi semasa.
“Gerakan koperasi perlu terus bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan peluang yang ada, memperkukuh pengurusan serta meneroka ruang pertumbuhan baharu supaya mampu bertahan dan berkembang dalam jangka panjang.
“Saya berharap bantuan ini menjadi pemangkin kepada kemajuan perniagaan koperasi, sekali gus membawa manfaat berterusan kepada anggota dan masyarakat keseluruhannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 27 koperasi penerima Geran Mutiara MADANI dan berharap peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan secara berkesan demi memperkukuh kedudukan gerakan koperasi di Pulau Pinang.



Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : PEJABAT EXCO