Bersukan mampu pupuk semangat kesukanan dan erat silaturahim – Afif

DR. Afif Bahardin (tengah sekali) sempat beramah mesra bersama murid-murid dari rumah sukan Kuning Jaya dengan kreativiti mengenakan kostum adiwira pagi tadi.

KEMERIAHAN… Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya hari ini berlangsung meriah dengan pelbagai acara menarik.

Program tersebut dirasmikan oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, acara sukan tahunan mampu menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.

“Selain menjadikan murid-murid itu cergas, bersukan juga mampu memupuk semangat kesukanan yang tinggi serta mengeratkan silaturahim antara pelajar dan guru,” ujarnya.

Hadir sama, Penolong Kanan Kokurikulum SK Seberang Jaya, Syahrizal Sufian dan wakil-wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

Afif dalam pada itu, turut menzahirkan rasa kagum terhadap kreativiti murid-murid di SK Seberang Jaya yang mengenakan kostum adiwira semasa acara perbarisan dan upacara nyalaan obor.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD