Sambutan menggalakkan, program Forest Bathing MPSP diteruskan di 6 lokasi baharu

Admin

BERAPIT – Program Forest Bathing atau Terapi Rimba yang mula diperkenalkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun 2018 akan diteruskan di enam lokasi baru tahun ini.

Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod berkata, enam lokasi baharu yang dikenal pasti adalah di Taman Rekreasi Bukit Indah; Bukit Langkap (Suling Hill); Hutan Bakau Sungai Acheh; Taman Rekreasi Sungai Jarak, Padang Cempedak; Bukit Katak, Tasek Gelugor serta Taman Negeri Panchor.

Antara kemudahan awam yang dinaiktaraf oleh pihak MPSP di Taman Bukit Indah.

“Secara keseluruhannya, program Forest Bathing yang dianjurkan tahun lepas didapati amat berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan rekod kehadiran seramai kira-kira 200 orang.

“Justeru, pada pagi ini (23 Februari), kita melaksanakan program Forest Bathing Siri Pertama untuk tahun ini di Taman Rekreasi Bukit Indah yang kaya dengan pelbagai spesies pokok hutan seperti getah, pokok ara, lutong dan sebagainya.

“Selain itu, MPSP juga telah menyediakan beberapa kemudahan sukan di seperti alat permainan kanak-kanak, alat senaman jenis ‘outdoor gym’, wakaf, laluan pejalan kaki serta kerusi taman sekaligus menjadikan taman ini sesuai dijadikan sebagai kawasan riadah,” katanya semasa merasmikan program berkenaan, 23 Februari lalu.

Acara senaman ringan dilakukan sebelum memulakan program Forest Bathing.

Turut serta, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Ng Hooi Ting; Ahli Majlis bagi MPSP, Bernard Cheen Goon Hooi; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Indah, Francis Lee Yew Wooi; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Bukit Indah, Khor Kheng Long, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan MPSP serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Rosnani turut memberitahu bahawa MPSP senantiasa berusaha melakukan penambahbaikan taman-taman awam bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Perkara pertama akan dilihat adalah keselamatan penduduk serta kemudahan yang diperlukan berdasarkan maklum balas yang diterima melalui kaedah Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB).

“Kemudian, kita akan buat penilaian dan sekiranya dirasakan sesuai maka kita akan laksanakannya,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS