PSCC pilih Pulau Pinang dalam siri jelajah amal

KETUA Menteri (berkemeja kuning) tidak melepaskan peluang mencuba kereta super Lamborghini bersempena Pelancaran PSCC di sini barubaru ini.
KETUA Menteri (berkemeja kuning) tidak melepaskan
peluang mencuba kereta super Lamborghini bersempena Pelancaran PSCC di sini baru-baru
ini.

TANJUNG PINANG – Ternyata kehadiran 40 buah ‘super car’ dari jenama Lamborghini, Ferrari, R8 dan GTR yang membanjiri dataran Pusat Membeli-belah Straits Quay di sini berjaya mencuri tumpuan pengunjung.

Menurut Presiden Penang Super Car Club (PSCC), Dennis Yew, kehadiran kereta-kereta super ini adalah untuk mengumpul dana bagi Pertubuhan Haemodialysis Fo Yi Pulau Pinang dan Pure Lotus Hospice of Compassion.

“Sejumlah RM20,000 telah berjaya bagi membantu kedua-dua pertubuhan tersebut dari segi kewangan,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran PSCC di sini baru-baru ini.

PSCC merupakan satusatunya persatuan kereta berkuasa tinggi di Pulau Pinang yang melancarkan pengumpulan dana bagi persatuan-persatuan amal yang lain. Selain mengadakan siri jelajah amal di beberapa buah negeri di Malaysia, PSCC turut mengadakan jelajah amal ke Thailand dan Singapura.

Dalam pada itu, Ketua Menteri yang hadir merasmikan PSCC turut berasa gembira kerana PSCC menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah destinasi dalam siri jelajah kereta super.

Malah, dalam majlis perasmian tersebut, turut serta adalah Kedah Motor Sport Club (KMSC) dan beberapa pemilik kereta super yang menyertai Malaysia Super Car Owners Club (MSOC).

“Terima kasih kerana memilih Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi perhentian bagi siri jelajah amal ini dan Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kehadiran pemilik kereta super yang lain untuk menikmati keindahan di Pulau Pinang,” ujar Guan Eng.

Ketua Menteri turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kereta super bagi negeri-negeri di Utara Malaysia. Malah, menurut Guan Eng lagi, ia bakal menjadi salah satu tarikan pelancongan bukan sahaja dalam negara malah mampu menggamit kehadiran pelancong luar negara.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut Presiden MSOC, Datuk Seri Azman Mahmud ; Presiden KMSC, Datuk Chia dan pemilik-pemilik kereta super dari tiga persatuan kereta super.