Jika Pusat lulus TP1M, penduduk tak perlu bayar sesen pun – Exco

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Penduduk di negeri ini sepatutnya tidak perlu membayar sesen pun untuk projek penarafan di kediaman masing-masing, sekiranya Kerajaan Pusat meluluskan baki 120 lagi permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) ke negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, Perbadanan Pengurusan Lot 3385 Taman Bagan Butterworth sendiri memohon TP1M sebanyak tiga kali, tetap sehingga kini tidak diluluskan.

Susulan itu, katanya, Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus kos naik taraf tangki air di sini yang berjumlah RM25,600, manakala baki RM6,400 lagi terpaksa ditanggung oleh penduduk setempat.

“Di bawah TP1M, Kerajaan Pusat menanggung 90 hingga 70 peratus, manakala baki 10 peratus hingga 30 peratus yang sepatutnya ditanggung oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk (PP), akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

“Ertinya, projek seumpama ini percuma dan penduduk tidak perlu keluar apa-apa walau sesen pun jika Kerajaan Pusat meluluskan TP1M untuk projek ganti tangki (yang bernilai keseluruhan) RM32,000 ini, kerana baki 20 peratus (RM6,400) akan dibayar oleh Kerajaan Negeri melalui skim HAPPY (Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Perasmian Siap Projek Naik Taraf Tukar Ganti Tangki Air Lot Lot 3385 Taman Bagan Butterworth 22 Mei lalu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal, ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Jagdeep memberitahu, peruntukan untuk projek penyelenggaraan rumah flat mampu milik ‘Type A’ dan ‘Type B’ kini berjumlah RM2.8 juta.

Dan, beliau menyatakan bahawa pihaknya ada merayu kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng supaya menambah lagi jumlah peruntukan itu, selagi Kerajaan Pusat tidak meluluskan baki TP1M dari negeri ini.

Sejak tahun 2012 sehingga kini, Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru meluluskan 24 TP1M untuk rakyat Malaysia di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memuji Pengerusi Perbadanan Pengurusan Lot 3385 Taman Bagan Butterworth, Tan Choo Beng kerana mengagihkan 100 kampit beras kepada para penduduk yang berjaya melunaskan semua caj penyelenggaraan masing-masing kepada JMB.

Manakala, Tanasekharan pula memohon Kerajaan Negeri supaya mempertimbang syor Choo Beng untuk memajukan sebuah dewan serbaguna yang diperlukan oleh komuniti setempat di sini.