300 imam terima sanad bacaan Al-Fatihah

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEPALA BATASLebih 300 imam menyertai Kursus Pemantapan Tahsin Imam dan Pengijazahan Sanad Surah Al-Fatihah Peringkat Negeri kendalian Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sini baru-baru ini.

Pensyarah Fakulti Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dari Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Yazid Salleh Al- Hafiz mengendali bengkel pemantapan dan tahsin Al-Quran.

Manakala, Iman Masjid Negara, Tan Sri Datuk Syeikh Ismail Muhammad pula meneraju bengkel pemantapan dan ‘tadabbur’ intipati Surah Al-Fatihah.

Dalam bengkel itu, Syeikh Ismail turut menjelaskan mengenai intipati serta bacaan sebenar Surah al-Fatihah kepada calon-calon imam yang hadir, sebelum menyempurna majlis pengijazahan sanad Surah Al-Fatihah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), Datuk Sazali Hussein semasa berucap pada majlis perasmian penutupan berkata, kesempurnaan bacaan Surah Al-Fatihah dalam solat merupakan salah satu kewibawaan seorang imam di sisi para makmum solat.

“Semua kita perlu berusaha menyempurnakan baca Surah Al-Fatihah kerana itu sebahagian dari kesempurnaan solat berjemaah,” ujar beliau di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Nada yang sama turut disuara oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah MAINPP, Rosidi Hussain.

“Melalui kursus seumpama ini, kita nak pentadbiran masjid dihormati oleh anakanak kariah,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Rosidi berkata, pihaknya sedang merancang menjadikan kawasan masjid di negeri berkenaan sebagai zon larangan merokok ke arah merealisasikan kempen ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat’.