300 kanak-kanak OKU turut meriahkan Larian Keamanan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


KEAMANAN… Lebih 300 orang  kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) tidak ketinggalan menyertai hampir 2,500 peserta memeriahkan Larian Keamanan kali ke-24 yang dianjurkan oleh SCI Malaysia dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertempat di Taman Perbandaran baru-baru ini di sini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, penyertaan yang menggalakkan tersebut membuktikan bahawa bukan sahaja masyarakat sekitar malahan kanak-kanak istimewa turut peka akan isu kesihatan dan keamanan sejagat.

“Ini merupakan salah satu platform dan jaringan terbaik bagi mendekatkan golongan masyarakat dan insan-insan istimewa agar sama-sama beriadah, bekerjasama dan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah,” ujarnya semasa merasmikan Larian Keamanan kali ke -24 yang berlangsung di Taman Perbandaran baru-baru ini di sini.

Hadir sama Pengerusi Penganjur, A. Athimulan dan Pengarah Rekreasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Pada penganjuran tersebut, turut diadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para peserta, persembahan tarian ‘Gangnam Style’ oleh kanak-kanak OKU dan acara cabutan bertuah.