313 pelajar cemerlang STPM, SPM 2021 terima insentif Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Seramai 313 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima insentif tunai, sijil penghargaan dan pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Insentif tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena Majlis Anugerah Cemerlang STPM dan SPM Tahun 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan dekat sini sebentar tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow berkata bahawa pemberian insentif tersebut adalah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM232,000 yang akan dibayar melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT).

“Inisiatif ini merupakan pengiktirafan kecil Kerajaan Negeri atas pencapaian cemerlang para pelajar negeri ini yang telah berusaha dengan gigih dan tekun dalam mengecapi kejayaan khususnya dalam suasana pembelajaran penuh cabaran akibat pandemik COVID-19.

“Namun di sebalik kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar, guru dan ibu bapa dalam menempuhi waktu-waktu sukar tersebut, Kerajaan Negeri amat bangga apabila saban tahun kita dapat menyaksikan peningkatan positif dalam peperiksaan utama ini,” katanya.

Ketua Menteri bergambar kenangan bersama-sama pelajar cemerlang STPM dan SPM tahun 2021 sempena Majlis AnugerahC Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah dan Timbalan Penolong PPD Timur Laut, Sunny Seowfuddin Abdullah.

Kon Yeow berkata, bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah merekodkan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) membanggakan iaitu 2.85 mengatasi peringkat nasional (2.79) dan lebih tinggi berbanding tahun 2020 (2.83).

“Bagi pencapaian SPM pula, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 86.03 peratus atau 15,520 daripada 20,048 calon yang menduduki peperiksaan SPM di negeri ini layak mendapat sijil.

“Daripada keseluruhan calon tersebut pula, seramai 231 pelajar berjaya mendapat pencapaian 7A+ dan ke atas,” jelasnya lanjut.

Insentif kepada pelajar cemerlang 2021 melibatkan peruntukan berjumlah RM232,000.

Sementara itu, Ramasamy memberitahu bahawa seramai 17 calon SPM tahun 2021 di negeri ini memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran dan sebanyak 22 sekolah mencapai 100 peratus pelajar yang lulus serta layak mendapat sijil SPM.

Menurut beliau, seramai 2,048 daripada 2,049 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM telah lulus dan layak menerima sijil… lebih membanggakan sebanyak 11 sekolah di negeri ini mencapai kejayaan 100 peratus pelajar lulus serta layak mendapat sijil STPM,” ulasnya.

“Pada hari ini, seramai 231 pelajar menerima sijil penghargaan dan saguhati sebanyak RM500 manakala seramai 82 pelajar STPM berjaya memperoleh keputusan penuh PNGK 4.0 dan menerima sijil penghargaan serta wang saguhati RM 1,000.

“Di samping itu, lima pelajar menerima Sijil Penghargaan dan Anugerah Pelajar Terbaik Pelajar Istimewa (Khas) serta wang saguhati sebanyak RM500,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.

Difahamkan, pemberian insentif kecemerlangan pada kali ini turut dipanjangkan kepada beberapa lagi kategori iaitu pelajar terbaik (termasuk kategori pelajar istimewa) dan juga Anugerah Sekolah Terbaik.

Bagi tahun 2021, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor dianugerahkan sebagai sekolah terbaik bagi STPM manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul pula dinobatkan sebagai sekolah terbaik bagi SPM yang mana masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM3,000.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN