3,360 pokok berjaya ditaman sempena program Penanaman Pokok Serentak MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Sebanyak 3,360 batang pokok pelbagai spesies berjaya ditanam sempena penganjuran program Penanaman Pokok Serentak anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 24 September lalu.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata jumlah itu merangkumi 332 batang pokok ditanam oleh MBSP manakala selebihnya ditanam oleh penduduk Seberang Perai yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Seluruh kakitangan MBSP menghadiri Perhimpunan Korporat MBSP dekat Menara Bandaraya MBSP di sini.

“Pokok-pokok yang ditanam oleh MBSP adalah di sekitar Taman Rekreasi Vision Park di daerah Seberang Perai Utara(SPU), di sepanjang jalan Permatang Nibong dekat Seberang Perai Tengah (SPT) dan Changkat Jeti Nelayan di Seberang Perai Selatan.

“Selain itu, sebanyak 3,028 batang pokok ditanam oleh penduduk Seberang Perai yang mendaftar dan menyertai program Planting Hours seperti di lot persendirian atau tanah persendirian, kawasan agensi-agensi kerajaan, agensi swasta, institusi pendidikan, kolej, politeknik universiti dan lain-lain premis,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas menyempurnakan Perhimpunan Korporat MBSP dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu bahawa sejak 2008 sehingga kini MBSP telah berjaya menanam sejumlah 103,808 batang pokok di seluruh Seberang Perai.

“Secara terperinci, MBSP telah menanam sebanyak 62,000 batang pokok sejak 2008 sehingga 2017 manakala tahun 2018 hingga 2021 pula sebanyak 36,389 dan sejumlah 4,662 pokok ditanam pada tahun ini sehingga September lalu.

“MBSP akan berusaha untuk menanam lebih banyak pokok bagi memenuhi sasaran 500,000 pokok ditanam menjelang tahun 2030,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa MBSP sedang merangka Pelan Strategik Seberang Perai yang baharu bagi menggantikan pelan sedia ada yang tamat pada tahun ini.

“Kini kita dalam proses mengadakan bengkel dan pelan strategik baru akan diumumkan apabila siap sepenuhnya kelak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD