Menang agregat 3-1, Penang FC ke suku akhir Piala FA

img 5075

GEORGE TOWN – Pasukan Penang FC mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Melaka FC sekaligus melayakkan ke pusingan suku akhir Piala FA menerusi agregat 3-1 setelah tamat perlawanan timbal balik di Stadium Bandaraya petang tadi.

img 5076

Dua gol kemenangan tuan rumah dijaringkan oleh kapten pasukan, Stefano Brundo (minit ke-74) menerusi sepakan percuma dan Enzo Celestine pada masa tambahan.

Sebelum itu, Penang FC dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat menerusi pemain import, Kpah Sherman minit ke-35.

img 5068Namun bagi Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, persembahan anak buahnya pada 40 minit pertama kurang memuaskan apabila jentera serangan gagal berfungsi dengan baik sehingga menyaksikan pasukan berdepan asakan Melaka FC dan dibolosi gol pembukaan.

“Saya sangat tidak berpuas hati terutama pada 40 minit pertama kerana bahagian hadapan tidak berfungsi.

“Bila bahagian hadapan tidak berfungsi, permainan tidak berkembang dan kita sentiasa berdepan asakan Melaka.

“Namun, selepas pertukaran dibuat, bahagian hadapan mula menampakkan perkembangan apabila kita mula melakukan serangan dari kiri dan kanan, crossing serta percubaan ke arah gol,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media sejurus tamat perlawanan.

img 5067

Beliau berkata, perubahan tersebut menyaksikan Penang FC tampil lebih agresif pada babak seterusnya dan berjaya menghasilkan dua jaringan bagi mengatasi Melaka FC.

Mengulas mengenai cabaran di suku akhir yang dijangka menemukan Penang FC dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Wan Rohaimi berkata pasukannya tidak akan memberi laluan mudah walaupun menyedari kekuatan lawan.

“JDT satu pasukan yang utuh dan hebat, tetapi kita tidak akan memberi laluan yang mudah. Kita akan memberi saingan seperti juga tahun lepas,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan Liga Super pula, Wan Rohaimi menegaskan keutamaan pasukan ketika ini adalah aksi liga pada Sabtu ini memandangkan Penang FC masih belum mencatat kemenangan dan jaringan dalam saingan liga.

“Bagi saya yang penting adalah perlawanan seterusnya dalam liga kerana kami belum mendapat kemenangan dan belum menjaringkan gol.

“Jadi, perlawanan Sabtu ini menjadi keutamaan kami berbanding suku akhir Piala FA,” katanya.