Hari Buletin 5.0 Bersama Bomba dekatkan kerajaan dengan rakyat

90cfef23 a75f 402e 9fcf 066b7e6a0a9c

 

BUKIT TENGAH – Penganjuran Hari Buletin 5.0 Bersama Bomba 2026 menjadi platform penting dalam usaha Kerajaan Negeri mendekatkan pentadbiran dengan rakyat menerusi interaksi secara langsung.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, program berkenaan bukan sekadar menghimpunkan masyarakat dan agensi kerajaan, sebaliknya membuka ruang interaksi dua hala bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat serta memahami perkhidmatan yang disediakan.

“Kerajaan bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada rakyat, tetapi mesti hadir bersama rakyat, mendengar suara mereka dan memastikan setiap perkhidmatan benar-benar sampai kepada mereka.

1e9a71ab 9056 443b 9e72 50e8331933d6 dad7b36c cc75 4911 a0d8 fa525d030548 18f3ba16 fdb8 4eee bb24 7bc651120a4a 5c78fa0d 9c21 4c48 ac7d f4b686cd6207

“Inilah pendekatan yang mahu kita teruskan, iaitu kerajaan yang bukan sahaja melaksanakan dasar, tetapi turun padang, mendengar suara rakyat dan memastikan masyarakat memahami perkhidmatan serta peranan agensi kerajaan yang sentiasa dekat dengan rakyat,” ujarnya pada Majlis Penutupan Hari Buletin 5.0 Bersama Bomba dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Dato’ Nordin Pauzi; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Bomba (TPjB) Ts. Mohamad Shoki bin Hamzah; barisan Ahli Majlis MBSP dan lain-lain jemputan kehormat.

Tambah Kon Yeow, penganjuran tahun ini amat istimewa berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya, yang mencerminkan lima dekad komitmen, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan warga bomba dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat.

“Peranan JBPM kini semakin luas dan bukan hanya tertumpu kepada operasi memadam kebakaran, malah turut merangkumi operasi menyelamat, pengurusan bencana, pencegahan kebakaran, pendidikan keselamatan serta kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk kecemasan,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, Buletin Mutiara yang mula diterbitkan secara bercetak pada 2010 terus berkembang sebagai medium komunikasi rasmi Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Daripada sebuah penerbitan, Buletin Mutiara kini berkembang menjadi satu platform yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan.

“Penganjuran Hari Buletin merupakan antara usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa selepas tiga edisi terdahulu menjelajah ke beberapa daerah di Pulau Pinang dan edisi keempat yang berlangsung bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tahun lalu, Hari Buletin 5.0 kembali dengan pendekatan tersendiri menerusi kerjasama bersama JBPM.

“Saya berharap interaksi secara langsung menerusi program berkenaan dapat terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat, selain memastikan setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan dapat difahami serta dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan JBPM dan pasukan bomba sukarela yang turut menjadi tulang belakang kepada negeri ini, serta agensi berkaitan supaya Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN/ADLEENA RAHAYA AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN/LAW SUUN TING