Geran peruntukan Kerajaan Negeri, ringan beban kewangan pengusaha taska

GEORGE TOWN – Sebanyak lapan permohonan geran penubuhan berjumlah RM140,000 dan sembilan permohonan geran menaik taraf berjumlah RM105,400 diluluskan kepada pengusaha taska di negeri ini.

 

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, pemberian geran peruntukan tersebut adalah bertujuan meringankan beban kewangan pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak sekali gus membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak pengusaha.

 

“Ramai yang melihat perusahaan taska dan pusat jagaan kanak-kanak sebagai suatu bentuk perniagaan, sebaliknya kita perlu melihat (perusahaan) ini sebagai perkhidmatan sosial yang penting.

 

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menyediakan segala bantuan yang termampu untuk membantu mereka (pengusaha) menyediakan perkhidmatan terbaik (melalui pemberian geran peruntukan).

 

“Malah, pemberian geran peruntukan ini juga akan menggalakkan lebih ramai golongan ibu menghantar anak-anak mereka ke taska dan menjadi dorongan untuk mereka kembali ke alam pekerjaan dalam keadaan mental yang tenang tanpa perlu risau mengenai penjagaan anak mereka,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 3 November 2022.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Syahrul Nasir Mat Rais.

 

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa pemberian geran peruntukan tersebut juga adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga dalam sebuah negeri yang pintar dan hijau.

 

“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas pembelajaran sepanjang hayat yang membentuk otak dan keupayaan untuk belajar, bergaul serta bertindak balas terhadap sesuatu cabaran harian.

 

“Saya berharap, dengan adanya peruntukan seperti ini akan memberi dorongan kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak untuk memantapkan lagi perkhidmatan sosial ini supaya dapat memberi manfaat kepada lebih lagi golongan masyarakat,” sarannya.

 

Terdahulu, Chong Eng menyerahkan cek cura kepada para pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak terpilih.

 

ANTARA pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang menerima geran naik taraf daripada Kerajaan Negeri merakam gambar bersama-sama Chong Eng (enam dari kiri) di sini.

 

Antara yang menerima geran penubuhan taska dan pusat jagaan kanak-kanak baharu adalah Taska Momybonda Sayang sebanyak RM20,000; Pusat Jagaan Pelangi Kecil (RM20,000); Taska Mawardah (RM20,000); Pusat Jagaan Qaseh Al Imran (RM10,000); Taska Asfa As Salam (RM10,000); AIM Care Centre (RM10,000); Taska Mutiara Bonda (Cawangan Pekaka) (RM17,000) dan Pusat Jagaan Pertubuhan Minda (RM33,000).

 

Manakala, Taska Sinar Muhibah (RM13,500); Taska Graduan Kecil Bukit Mertajam (RM10,000); Pusat Jagaan The Salvation Army (RM11,000); Taska Mutiara Bonda (RM10,900); Pusat Jagaan Micasa (RM14,000); Taska Mutiara Bistari (RM15,000); Taska Nur Permata (RM12,500); Taska Saujana Bistari (RM13,000) dan Taska Graduan Kecil Kepala Batas (RM5,500) menerima geran peruntukan menaik taraf.

 

Sebagai rekod, sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sebanyak tiga permohonan geran penubuhan berjumlah RM117,484.30 dan 14 permohonan geran naik taraf berjumlah RM194,138.98 melalui geran peruntukan Fasa 1.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng berkata bahawa pihaknya akan mengadakan kaji selidik bagi membuat semakan kelayakan permohonan geran peruntukan tersebut.

 

Difahamkan, kini, hanya taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang menetapkan bayaran perkhidmatan RM500 layak untuk menerima geran berkaitan.

 

“Walau bagaimanapun terdapat keluhan dalam kalangan pengusaha yang mana bayaran tersebut terlalu minimal bagi menampung kos operasi termasuk bayaran gaji kepada pengasuh.

 

Maka, saya akan mengadakan sesi libat urus dan mendapatkan maklum balas serta mengkaji semula hal ini, mungkin boleh wujudkan kategori mengikut lokaliti iaitu taska di bandar dan luar bandar.

 

“Hal-hal lain berkaitan seperti kursus kepada pengasuh juga akan dilihat semula bagi memastikan pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

 

Dalam sidang media sama, Chong Eng turut menyeru kepada mana-mana pihak yang membentuk kerajaan selepas Pilihanraya Umum Ke-15 untuk memberi keutamaan dengan mewujudkan sebuah agensi berkaitan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak supaya setiap perkara melibatkan kanak-kanak boleh dikawal selia oleh agensi tersebut.

 

Perkara ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang iaitu membuat penstrukturan semula pendidikan awal kanak-kanak.

 

“(Penstrukturan semula ini) adalah dengan mengambil kira faktor sosioekonomi keluarga serta bantuan-bantuan yang perlu disalurkan bagi memastikan kanak-kanak tidak menghadapi sebarang masalah pada peringkat awal usia,” jelasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING