38 anak muda berbahas di DUN

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

GEORGE TOWN – Bersempena penganjuran Festival Demokrasi Tempatan (FDT) di sini, seramai 38 anak muda yang turut serta dalam program Parlimen Muda (salah satu program di bawah penganjuran FDT) berpeluang mengadakan sidang perbahasan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang barubaru ini

Dalam pada itu, para peserta program yang dianjur hasil gabungan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menempa sejarah tersendiri apabila menjadi generasi pertama dalam negara diberi ruang berbahas dalam ruang dewan realiti.

Menurut Pengarah Program Parlimen Muda, Sara Ayuni Hamdan, FDT dapat memberi pendedahan asas demokrasi dan proses penglibatan individuserta masyarakat dalam ruangdemokrasi tempatan dalam kalangan anak-anak muda.

“Program ini disasarkan kepada anak muda Malaysia berusia 25 tahun ke bawah tanpa mengira asal-usul negeri mahupun latar belakang peserta.

“Melaluinya, para peserta diperkenalkan dengan bentuk penglibatan politik dari dalam dan luar struktur rasmi serta ruang partisipasi alternatif bagi anak muda mengekspresikan pendapat masing-masing,” katanya pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.

Sidang media tersebut dipengerusikan Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain. Jelas Sara Ayuni, selesai bersidang, usul yang dibahas dan mendapat sokongan majoriti akan diterima dan dihantar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bagi mendapat maklum balas serta   pertimbangan sewajarnya.

youthparliament
ABDUL Halim Hussain (empat dari kanan) ditemani Sara Ayuni Hamdan (tiga dari kanan) menunjukkan sepanduk Program Parlimen Muda sempena penganjuran FDT di sini baru-baru ini.