Hijrah tenaga mahir topik utama dialog ekonomi

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Penghijrahan tenaga mahir tempatan ataupun ‘brain drain’ menjadi salah satu topik yang diutarakan para penggiat industri bersempena penganjuran Dialog Ekonomi InvestPenang (iP) Bersama Penggiat-penggiat Industri di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, salah seorang penggiat industri mencadangkan bahawa ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing dari kecil bagi menanamkan impian untuk bekerja atau berkhidmat di negeri Pulau Pinang.

Reaksi tersebut memperoleh maklum balas daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir sebagai dif kehormat dan juga salah seorang panel.

Guan Eng yang bersetuju dengan maklum balas tersebut menyatakan bahawa beliau sedar bahawa Pulau Pinang memiliki banyak ‘kepakaran’ dan ramai yang melanjutkan pelajaran di luar negara, malah, bekerja di ‘luar’ (luar negara).

“Anak negeri sememangnya berkebolehan dan mempunyai kepakaran,’’ ujarnya ringkas di sini baru-baru ini.

Turut hadir sebagai panel adalah Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, (PDC) Datuk Rosli Jaafar.

Bersempena penganjuran tersebut, kira-kira 200 penggiat industri dari pelbagai latar belakang di sini hadir untuk bersama-sama berkongsi pengalaman serta permasalahan masing-masing.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa Pulau Pinang mempunyai enam faktor utama kekuatan industri iaitu bakat, kos yang minima, infrastruktur yang baik, urus tadbir baik, kebolehan berbahasa Inggeris yang baik dalam kalangan rakyat dan zon industri berpusat serta kelompok (zon perindustrian).

“Pulau Pinang juga diiktiraf sebagai negeri pertama membangunkan Industri Kecil Sederhana (SME) secara besarbesaran.

“Ini adalah berikutan kewujudan SME Park di Bayan Lepas. Kita juga memperkenalkan SME Market Advisory, Resoursces and Training (SMART) yang bertujuan membantu penggiat industri kecil sederhana bagi bersaing di peringkat global,” ujar beliau.

investpenangdialoguewithindustries
ANTARA penggiat industri tempatan yang turut serta dalam Dialog Ekonomi iP Bersama Penggiat-penggiat Industri di sini baru-baru ini.