Briged Wanita, “sendi’ wanita Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Briged Wanita Pulau Pinang yang dilancarkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang barubaru ini bakal menyediakan pelbagai manfaat dan memelihara kebajikan seluruh wanita di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memerlukan sebuah jentera yang dinaungi oleh golongan wanita untuk menghebahkan dan memberitahu program-program Kerajaan Negeri sama ada untuk wanita di pekan, kampung mahupun di bandar.

“Rasionalnya penubuhan Briged Wanita ini adalah ‘wanita membantu wanita’, dengan menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang program-program kerajaan dan menggerakkan wanita lain untuk mendapatkan akses kepadanya.

“Pertama, adalah untuk mendaftarkan ibu tunggal dan ibu emas untuk menerima bantuan dan penghargaan Kerajaan Negeri.

Kedua, mendaftarkan wanita yang berumur 35 tahun ke atas untuk menerima pemeriksaan payudara (mammogram) percuma yang dibiayai sepenuhnya.

“Ketiga, mendaftarkan wanita yang berniaga secara kecil-kecilan bagi menerima pinjaman mikro kredit di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) PDC,”  ujarnya semasa merasmikan Pelancaran & Kursus Induksi Briged Wanita Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar baru-baru ini di sini.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dr. Norlela Ariffin (Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti).

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, ramai wanita setempat tidak sedar bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program untuk membantu mereka. Briged ini akan memudahkan akses setiap orang wanita di seluruh negeri kepada bantuan dan sokongan seperti ini.

“Oleh itu, sebagai seorang wanita kita berada pada kedudukan terbaik bagi membantu wanita lain. Selain itu, ahli briged ini akan diberikan latihan tentang kepimpinan dan tadbir urus baik dan latihan-latihan yang berguna,” ujarnya.