4 wira kayuhan ‘Road to London 2012’ dirai

Admin
EMPAT wira kayuhan ‘Road to London 2012’ diraikan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini baru-baru ini.
EMPAT wira kayuhan ‘Road to London 2012’ diraikan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNEmpat wira kayuhan Road to London 2012’, Bakar Noordin, 50; Chew See Lim, 54; Saw Peng Hooi, 62 dan jurulatih berbasikal nasional, Abdul Razak Kamis, 58, diraikan dalam satu majlis makan malam di sini baru-baru ini.

Bakar, seorang ahli perniagaan berkata, sepanjang ekspedisi yang memakan masa hampir enam bulan itu, laluan di Negara China adalah yang paling mencabar kerana terpaksa mengharungi cuaca sejuk dan panas melampau selama 70 hari.

“Kami terpaksa menahan kesejukan ekstrem dan melalui jalan-jalan yang tidak sekata serta mencabar fizikal kami.

“Ada ketika memang rasa nak berputus asa apabila cabaran dilalui sangat getir dan di luar kemampuan, namun semangat yang diberikan orang tempatan membuatkan kami meneruskan ekspedisi ini,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif kepada Pemenang-pemenang Pingat Kontinjen Negeri Pulau Pinang di Sukan Malaysia XV, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi.

Bagi See Lim, seorang pesara, ekspedisi tersebut sangat menyeronokkan. Walau bagaimanapun, beliau tidak akan menyertainya lagi pada masa akan dating kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarganya lagi.

“Amat sedih kerana ibu saya meninggal dunia ketika saya berada di Istanbul pada Jun lalu dan saya tidak dapat menghadiri upacara pengebumian ibu tersayang,” ujar See Lim.

Dalam pada itu, Kok Fooi sangat mengagumi keempat-empat wira kayuhan ‘Road to London 2012’ ekoran semangat yang ditunjukkan.

“Walaupun dipanggil ‘orang gila’, tetapi semangat dan kekuatan dalaman yang disemai membolehkan mereka menamatkan ekspedisi ini.

“Bukan mudah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dalam satu tempoh panjang, melalui laluan yang sukar dan ada halangan komunikasi,” katanya pada majlis sama di sini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pasukan tersebut bernilai RM2,000 setiap seorang.

“Usaha mereka adalah amat baik dan membuktikan kemampuan rakyat Malaysia terutama kesungguhan anak jati Pulau Pinang dalam merealisasikan sesuatu misi.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, tahniah dan selamat kembali ke tanah air. Semoga pengalaman diperoleh dapat dikongsi bersama generasi muda khususnya,” ujar Guan Eng yang turut menyatakan bahawa Pulau Pinang kini dalam usaha mewujudkan laluan basikal berintegrasi secara berperingkat dan menjadi negeri yang mesra kepada pengayuh-pengayuh basikal.

Road to London 2012’ menyaksikan empat pengayuh tempatan bersama Tim Davies, salah seorang pengayuh British yang turut serta dalam ekspedisi berkenaan, berkayuh sejauh 18,300 kilometer dan melalui 17 buah negara dari 4 Februari 2012 sehingga 6 Ogos 2012.

Kumpulan ekspedisi berbasikal yang ditaja oleh Persatuan St. John Ambulans Malaysia, MALAKOFF dan Syed Mohamad Idid Syed Ahmad, tiba di London (Downing Street) dan diraikan bersama Yang diPertuan Agong Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kok Fooi bersama delegasi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta pasukan atlit Malaysia yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012 London.