GEORGE TOWN – Sebanyak 4,818 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di Pulau Pinang bagi tempoh 2024 hingga September 2026, dengan anggaran kehadiran 5.33 juta pengunjung.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, program berkenaan menawarkan barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.
“PJRM merupakan antara inisiatif yang membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze, berhubung usaha menangani kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, pagi ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa MMK Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 18 Mac 2026 bagi menyelaras kerjasama antara agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan dan pemain industri.
Jawatankuasa itu, katanya, melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), persatuan penternak serta jabatan berkaitan.
“Sehingga kini, tiga mesyuarat penyelarasan telah diadakan dan mesyuarat seterusnya dijadualkan pada Disember 2026 bagi membincangkan pemantauan harga, bekalan barangan serta langkah intervensi bersesuaian,” ujar ADUN Bukit Tambun itu.
Dalam aspek penguatkuasaan, Choon Aik berkata bahawa KPDN melaksanakan Mekanisme untuk Menentukan Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah 2018 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi pemantauan serta pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan Notis Penentuan Harga (NPH) kepada premis disasarkan.
“Jika analisis awal mendapati nilai keuntungan semasa melebihi tahun sebelumnya, pegawai KPDN akan mengeluarkan notis bertulis bagi mendapatkan maklumat harga kos, harga jualan dan pengiraan berkaitan untuk analisis pencatutan.
“Pelan strategi penguatkuasaan seterusnya disediakan bagi memastikan setiap rantaian pengeluaran dan pembekalan mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak mengenakan keuntungan tidak munasabah,” katanya.
Tambahnya, Pejabat Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat turut turun padang bersama KPDN memantau harga barangan keperluan asas, khususnya menjelang musim perayaan, selain menyalurkan sebarang ketidakpatuhan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.

Menjawab soalan tambahan selepas itu mengenai peluang pasaran kepada usahawan tempatan menerusi program MADANI, Choon Aik berkata, sebanyak 1,884 program telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang sehingga 30 September 2026 dengan anggaran kehadiran 2.33 juta pengunjung.
Katanya, Pulau Pinang turut menganjurkan lapan Program MADANI Kita dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan sejak 5 September lalu, masing-masing di Batu Uban, Batu Maung, Sungai Bakap, Machang Bubok, Perai, Berapit, Kebun Bunga dan Padang Lalang.
Selain itu, dua program berskala besar turut dianjurkan, iaitu Festival Jom Malaysia (Zon Utara) oleh KPDN pada 17 hingga 20 September serta Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada 26 dan 27 September lalu.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mendekatkan kerajaan dengan rakyat, malah membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempromosikan produk serta meneroka pasaran lebih luas.
“Pengusaha tempatan boleh menyertai program sebagai pempamer tertakluk kepada syarat, termasuk berdaftar dengan Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau PBT, menawarkan produk keluaran tempatan serta menyediakan pembungkusan dan pelabelan lengkap.
Kita (Kerajaan Negeri) mahu memastikan manfaat pembangunan ekonomi turut dinikmati peniaga kecil, pengusaha makanan, pengeluar produk tempatan dan usahawan mikro, bukan hanya syarikat multinasional serta industri besar.
“Program seperti ini memberi ruang kepada usahawan memperkenalkan produk, meningkatkan keterlihatan jenama dan membina rangkaian perniagaan dengan pelanggan serta bakal rakan niaga,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan ekonomi negeri bukan hanya diukur berdasarkan nilai pelaburan dan angka eksport, tetapi juga sejauh mana peluang perniagaan, peningkatan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan PJRM, penyelarasan antara agensi, pemantauan harga serta penguatkuasaan, di samping memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam program promosi dan keusahawanan.
“Inilah semangat agenda MADANI, iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sekadar mencatat angka yang baik, tetapi turut membawa peluang dan manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN