5 blok rumah pangsa Lorong Mahsuri 10 bakal diremajakan – Exco

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AMANDA KHONG XIA LING

PANTAI JEREJAK – Lima blok rumah pangsa Lorong Mahsuri 10, di sini bakal menjadi projek perintis pertama negeri ini yang bakal dibangunkan semula secara lebih tersusun dengan suasana dan kualiti hidup lebih baik.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku pihak pemaju bertanggungjawab telah menyelesaikan satu tawaran pakej khas kepada penduduk tempatan bagi ‘meremajakan’ semula blok- blok kediaman berkenaan.

“PDC kini telah selesai dengan satu pakej untuk projek pembangunan semula di sini. Justeru, kami (Kerajaan Negeri dan PDC) mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas daripada penduduk setempat untuk menambah baik pakej sedia ada.

“Saya berharap penduduk dapat melihat dan menilai kebaikan yang akan dinikmati daripada pembangunan projek ini kelak,” katanya ketika mengadakan Program Dialog Kerajaan Negeri Bersama-sama Penduduk ‘5 Point Blocks’ Lorong Mahsuri 10 di sini baru-baru ini,

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon selaku ADUN kawasan dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Menurut Jagdeep, Jawatankuasa Khas Pembangunan Semula Bandar yang dipengerusikan beliau telah mengenalpasti lima kawasan di bahagian pulau dan Seberang Perai untuk menjalankan rancangan pembaharuan semula berkaitan.

“Jawatankuasa telah mengenalpasti tiga kawasan perumahan di bahagian pulau iaitu Taman Free School, Lorong Mahsuri 10 dan Flat Padang Tembak.

“Manakala, di kawasan Seberang Perai melibatkan dua kawasan iaitu Mak Mandin dan Taman Siakap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid menyifatkan dialog tersebut adalah penting bagi menjelaskan secara terperinci berhubung pembangunan yang akan dijalankan di samping mendapatkan input dan buah fikiran penduduk.

“Perkara ini harus diperhalusi dengan teliti demi menjamin situasi menang-menang dapat dicapai di antara pihak PDC dan penduduk setempat,” jelas beliau.