Tapak kuari Teluk Bahang, Exco minta kemuka cadangan pelan pembangunan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri mahu tuan tanah sebuah bekas kuari yang telah dibersihkan di Teluk Bahang supaya mengemukakan pelan rancangan pembangunan berhubung cadangan pihak berkaitan untuk membina perumahan mampu milik sebagaimana dilaporkan secara eksklusif dalam sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris, 1 Mei lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga hari ini (23 Mei 2016), beliau masih belum menerima apa-apa pelan cadangan pembangunan perumahan mampu milik sebagaimana dinyatakan wakil pemaju bagi tuan tanah tersebut.

“Menurut laporan akhbar tersebut, tuan tanah itu berhasrat membina projek perumahan mampu milik paling murah di bahagian pulau, Pulau Pinang.

“Oleh itu, kami (Kerajaan Negeri) ingin tahu, apa yang dimaksudkan oleh pihak tuan tanah tersebut,” katanya sejurus menyampaikan 500 kuntum bunga teluki untuk golongan ibu di Pasar Awam Taman Free School di sini baru-baru ini sempena Sambutan Hari Ibu Sedunia.

Melalui maklum balas diterima beliau, pihak pemaju telah memuatnaik cadangan pelan pembangunan tersebut melalui laman sesawang pemaju berkaitan.

Namun, Jagdeep berharap syarikat pemaju tersebut boleh tampil dan mengemukakan pelan cadangan pembangunan tersebut tidak lama lagi.

Pada 1 Mei lalu, sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris secara eksklusif melaporkan terdapat beberapa kawasan ‘dibotakkan’ melalui imej satelit Google Earth Pro yang dikemaskini pada 13 Februari 2016.

Walau bagaimanapun, laporan menyatakan bahawa tuan tanah tersebut tampil memberi jaminan bahawa ia bukanlah aktiviti penggondolan bukit, sebaliknya hanya dibersihkan bagi kajian kejuruteraan.

Malah, laporan sama turut menyatakan bahawa tuan tanah tersebut mendedahkan bahawa beliau akan membina 2,100 unit rumah mampu milik dengan keluasan 1,000 kaki persegi (k.p) pada harga termurah iaitu RM300,000.