Tayangan filem Redha, inisiatif pupuk kesedaran penyakit autisme

Admin

BULAN KESEDARAN AUTISME… Bulan April merupakan bulan kesedaran penyakit yang menggangu perkembangan otak kanak-kanak sehingga menyebabkan golongan berkaitan mengalami kekurangan seperti masalah komunikasi, interaksi sosial, pemikiran dan emosi.

Sehubungan itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan isteri, Dr. Mardhiah Zakaria telah mengambil inisiatif menaja 110 tiket kepada orang ramai untuk turut bersama-sama menonton filem Redha bagi meningkatkan kesedaran umum tentang penyakit autisme.

Menurut Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, inisiatif tersebut diambil ekoran masih ramai rakyat negara ini tidak mengetahui secara mendalam mengenai penyakit autisme.

“Selain meningkatkan kesedaran, inisiatif ini juga adalah bagi mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap individu serta keluarga yang berdepan masalah membesarkan insan autistik,” katanya pada majlis berkaitan baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Pengarah filem Redha, Tunku Mona Riza serta dua pelakon kanak-kanak, Haziq Harith dan Izzy Zulkhazreef.

Filem Redha merupakan inspirasi daripada kisah sebenar yang memaparkan tentang kehidupan pasangan suami isteri dalam menghadapi realiti perjuangan sebenar bagi membesarkan seorang anak yang menghidap autisme.