5 taman permainan DUN Air Itam dilancar

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Kawasan lapang terbiar Happy Valley di sini berjaya dinaik taraf menjadi sebuah taman permainan dan rekreasi yang bukan sahaja khas untuk kanak-kanak, malah juga seisi keluarga baru-baru ini.

Taman yang dikenali Taman Permainan Tiga Generasi tersebut adalah hasil buah fikiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Hon Wai berkata, sebelum ini, kawasan terbabit pernah mempunyai fasiliti permainan, namun, tanpa penyelenggaraan serta penjagaan yang wajar, ia telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“Sejak itu, kawasan ini hanya dibiarkan dan menjadi tempat pembuangan serta timbunan sampah sarap,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di sini baru-baru ini.

Tambah Hon Wai, sejumlah RM10,000 diperuntukan untuk menambah bilangan fasiliti di sini serta memperbaiki persekitaran yang lebih kondusif dan hijau.

Serentak itu, Hon Wai turut melancarkan empat projek taman permainan dan rekreasi lain di kawasannya iaitu Desa Mawar, Kampung Melayu, Kampung Shaikh Madar dan Kampung Shaik Eusoff.