PPS Taman Perai santuni OKU

Admin

BUKIT TENGAH – Kegirangan jelas terpancar pada wajah penghuni di rumah Persatuan Kebajikan Kanak- kanak Cacat Yei Ran Jing Sheh apabila menerima kunjungan mesra Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Taman Perai di sini baru-baru ini.

Menurut Setiausahanya, M. Turaisingam, PPS Taman Perai bukan sekadar sukarelawan yang memantau keselamatan komuniti, tetapi, juga prihatin terhadap nasib golongan orang kurang upaya (OKU).

“We love OKU (Kami sayang OKU), kami berkhidmat penuh prihatin dan prinsip ini menjadi pegangan PPS Taman Perai.

“Kunjungan ini merupakan yang pertama kali dianjurkan PPS Taman Perai dan kami berhasrat untuk meneruskan program sebegini di masa hadapan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Rumah kebajikan berkenaan mempunyai 63 penghuni iaitu 31 lelaki dan perempuan (32) yang berusia antara 5 tahun hingga 59 tahun.

Menurut Turaisingam, kehadiran PPS bukan sahaja untuk beramah- mesra dengan para penghuni, tetapi juga bertujuan menderma bahan- bahan makanan asas serta mengadakan aktiviti berkumpulan seperti mewarna bersama mereka.

“Pada masa sama, kunjungan ini juga bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan PPS akan usaha-usaha Kerajaan Negeri yang memberi keutamaan kepada golongan OKU sama ada melalui perkhidmatan mahupun kebajikan,” jelas beliau.