50 peratus lagi diskaun lesen jaja MPPP tahun depan

Oleh:ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Penjaja di sekitar pulau sekali lagi diberi diskaun pembayaran lesen sebanyak 50 peratus pada tahun depan sebagai
menghargai peranan mereka dalam membantu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPSP) merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat pengumuman itu pada jamuan makan malam sempena Hari Penjaja 2012 baru-baru ini.

“Diskaun 50 peratus telah bermula pada tahun 2010 dan para penjaja akan terus menikmati tolakan 50 peratus oleh MPPP pada tahun depan (2013),” ujar beliau di Dewan Bandaran MPPP, di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Datuk Ar. Patahiyah Ismail (Yang Dipertua MPPP), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas), Ng Wei Aik (Ahli Dewan Undangan Negeri/ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut hadir pada majlis tersebut.

Ong Ah Teong, Tay Leong Seng dan Lam Tong Ying antara Ahli Majlis bagi MPPP yang hadir pada majlis itu.

Difahamkan, Hari Penjaja mula diraikan di Pulau Pinang pada 18 November 1996 demi menghargai peranan penjaja dalam menggerakkan ekonomi negeri.

Sejak itu, perayaan tersebut diraikan pada tanggal yang sama saban tahun dan pertandingan gerai terbersih menjadi salah satu program tradisi yang menarik serta ditunggu-tunggu oleh kaum penjaja.

“Budaya Bersih, Amalan Penjaja” menjadi tema bagi perayaan Hari Penjaja Kali Ke-17 baru-baru ini.

Sehingga Oktober lepas, Guan Eng berkata, sebanyak 6,392 kompaun telahpun dikeluarkan oleh MPPP kepada penjaja atas pelbagai kesalahan seperti berniaga tanpa lesen, tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan, tidak memakai apron serta tutup kepala,mengamalkan tabiat buruk semasa mengendalikan makanan, menghalang lalu lintas dan sebagainya.

Beliau berkata, MPPP tidak pernah menzalimi mana-mana pihak sebagaimana yang digembargemburkan oleh pembangkang Pulau Pinang. Atas maksud itu, beliau menjelaskan mengenai kontroversi kira-kira 20 penjaja tanpa lesen menuntut hak berniaga di sekitar Padang Kota Lama, di sini.

“Beliau (Patahiyah) tetap cakap ‘tak boleh’ kepada penjaja-penjaja ‘haram’ (tanpa lesen) di Padang Kota Lama kerana ini berlawanan dengan hasrat penjaja-penjaja berlesen di Medan Renong di Padang Kota Lama juga.

“Marilah bersama-sama kita memberi sokongan kepada Yang Dipertua MPPP kita (Patahiyah) dalam menguatkuasa apa yang diperuntukan dalam undang-undang kerana kerja menyelesaikan aktiviti penjajaan tanpa lesen ini bukanlah mudah,” ujar beliau di depan lebih 200 hadir yang juga kaum penjaja.

KETUA Menteri serta kepemimpinan Kerajaan Negeri bergambar bersamasama barisan penjaja yang memenangi Pertandingan Gerai Terbersih 2011 sempena sambutan Hari Penjaja Kali Ke-17 di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri serta kepemimpinan Kerajaan Negeri bergambar bersama-sama
barisan penjaja yang memenangi Pertandingan Gerai Terbersih 2011
sempena sambutan Hari Penjaja Kali Ke-17 di sini baru-baru ini.