REHDA positif laksana CSR

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru semua pemaju perumahan mencontohi usaha yang bukan sahaja membantu Kerajaan Negeri merealisasikan wawasan mentransformasi Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa, malah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kemakmuran yang bakal dikongsi secara bersama.

Guan Eng berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-38 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, kemakmuran hanya boleh dicapai apabila adanya kedaulatan undang-undang, integriti dan meritokrasi yang mampu membina jati diri insaniah dan bakat.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah berikrar untuk menjadi sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan mengamalkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) serta memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk membina perumahan mampu milik walaupun hakikatnya ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan,” ucapnya yang turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri telah melancarkan dana berjumlah RM500 juta untuk membina 18,000 rumah mampu milik untuk lima tahun mendatang.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri telah membina 4,000 unit rumah kos rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Manakala sektor swasta sehingga hari ini telah membina 8,000 unit kos rendah dan dijangkakan menjangkau 20,000 unit dalam tempoh lima tahun mendatang.

“Saya memuji Pengerusi REHDA Cawangan Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan semua eksekutif REHDA kerana sentiasa positif dalam melaksanakan CSR serta menunjukkan sikap kepimpinan melalui teladan.

“Hal ini dapat dilihat apabila REHDA melalui CSR dan kewangan bukan sahaja membina taman, laluan jalan dan lintasan pejalan kaki, malah turut menyokong Kerajaan Negeri mempromosikan inisiatif hijau dalam projek-projek pembinaan mereka,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Pulau Pinang perlulah seimbang dan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pelbagai aspek antaranya keselamatan, penyediaan tempat beribadat dan hijau.

Jerry dalam pada itu berkata, badan-badan bukan kerajaan dan juga sektor swasta perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk menyediakan kediaman selesa dan bukannya mengikut harga hartanah yang semakin melonjak serta keuntungan semata-mata.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Exco Perancang Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan Pengerusi REHDA Malaysia, Michael Yam.

AcARA memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam ulang Tahun ke-38 REHDA di sini baru-baru ini.
AcARA memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam ulang
Tahun ke-38 REHDA di sini baru-baru ini.