500 sertai progam komuniti Tanjong Tokong

Oleh: AINUl WARDAh SOHILLI

TANJONG TOKONG – Lebih 500 penduduk di Jalan Tanjong Tokong Lama mengambil bahagian dalam Program Komuniti Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat dekat Masjid Tuan Guru di sini baru- baru ini.

Program anjuran secara bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Foaz Hamid dan Jawatankuasa Qaryah Masjid Tuan Guru serta Jawatankuasa Penduduk Tanjong Tokong tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Dalam ucapan perasmian, Zairil menekankan peri pentingnya mengekalkan semangat bergotong-royong yang ternyata memberi impak positif dalam kelompok masyarakat setempat.

“Amalan gotong-royong ini bukan sahaja memanfaatkan penduduk tempatan dari segi kebersihan dan kesihatan, malah mampu mengukir semangat muhibah serta kekitaan yang akan membantu pembangunan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat,” ucapnya pada program terbabit di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman dan Chris Chun Kit Lee.

Turut menyerikan majlis adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang berkenan menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada para peserta yang menyertai Program Komuniti berkenaan.

Selain gotong-royong, program komuniti tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung, Pertandingan Mewarna Kanak- kanak Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, pameran korporat, pendaftaran Program Penghargaan Emas Kerajaan Negeri, pemeriksaan kesihatan, cabutan dan kenduri rakyat.

Dalam pada itu, Mohd. Foaz ketika ditemui berkata, beliau amat berterima kasih kepada penduduk Tanjong Tokong yang hadir pada program tersebut.

“Ternyata program komuniti seperti ini mampu mengukuhkan hubungan sesama penduduk di samping menjalinkan hubungan dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat sama dalam program ini.

“Kita (MPPP) sememangnya akan meneruskan program sebegini dari masa ke masa dalam usaha mendokong visi Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri yang lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat dan lebih selamat,” ujar beliau.