Replika medium galak aktiviti riadah

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee yakin bahawa replika besi yang ditempatkan di taman permainan Taman Seri Bayu di sini baru-baru ini mampu menjadi medium menggalakkan penduduk beriadah ketika musim cuti persekolahan mahupun hujung minggu.

Katanya, idea mencipta replika besi ‘I Love Jawi’ atau ‘Saya Sayang Jawi’ adalah untuk dijadikan simbol perpaduan dan keharmonian warga Jawi amnya dan khususnya penduduk di Taman Seri Bayu.

“Idea ini tercetus setelah melihat George Town berubah wajah setelah diserikan oleh ‘street art’ sebegini.

“Justeru, kita adakan suatu replika di Jawi yang mampu memberi gambaran positif dan pada masa sama menggalakkan masyarakat di sini beriadah,” katanya pada Majlis Perasmian Replika Besi di sini baru- baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.