504 terima zakat Yayasan Aman

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

MANSOR Othman (kiri sekali) dan Wan Azizah Wan Ismail (kanan sekali) menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang kanak-kanak kelainan upaya pada Majlis Penyampaian Bantuan Zakat Yayasan Aman di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kiri sekali) dan Wan Azizah Wan Ismail (kanan sekali) menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang kanak-kanak kelainan upaya pada Majlis Penyampaian Bantuan
Zakat Yayasan Aman di sini baru-baru ini.

PENANTI – Seramai 504 penerima yang tergolong dalam asnaf-asnaf zakat di seluruh Parlimen Permatang Pauh telah menerima sumbangan zakat yang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Aman, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini baru-baru ini.

Wan Azizah menyatakan bahawa harta adalah pinjaman daripada Allah S.W.T., maka, adalah tanggungjawab seseorang umat Islam untuk menghulurkan bantuan (zakat) kepada mereka yang memerlukan.

“Kita berikan kepada mereka yang berhak. Kita juga kena tunaikan zakat (untuk keperluan mereka yang susah),” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Zakat di bangunan Yayasan Aman baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu memuji kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyatakan bahawa walaupun Ketua Menteri bukan beragama Islam, sumbangan yang diberikan kepada masyarakat adalah sangat banyak, antaranya, di bawah Program Anak Emas, Program Penghargaan Warga Emas, Program Pelajar Emas dan juga ibu tunggal.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Menteri I yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Datuk Mansor Othman berkata, dengan urustadbir yang baik dan tiada rasuah, pelbagai sumbangan dapat disampaikan kepada rakyat dan bukannya hanya terhad kepada bantuan zakat.

Yayasan Aman adalah pertubuhan kebajikan yang telah ditubuhkan pada 17 Januari 1983 untuk memberikan bantuan kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah haji, menyampaikan bantuan zakat, biasiswa serta bantuan perubatan bagi yang memerlukan.