Kerajaan Negeri bertindak adil, tiada diskriminasi dalam pendidikan

Oleh : ZULIANA AZIZ

SEBAHAGIAN pelajar menunjukkan sumbangan bantuan pelajar termiskin yang diterima di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN pelajar menunjukkan sumbangan bantuan pelajar termiskin yang diterima di sini baru-baru ini.

BAGAN – “Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sedaya-upaya membantu rakyat yang memerlukan selagi kami masih berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan,” begitulah ungkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Termiskin Parlimen Bagan, di sini baru-baru ini.

Seramai 250 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima dari lima buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Ling, SMK Bagan Jaya, SMK Kampung Kastam dan SMK Convent, Butterworth terlibat dalam majlis yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth di sini.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri tidak pernah mengamalkan diskriminasi dari segi aspek agama, bangsa, jantina dan fahaman politik.

Kerajaan Negeri bertindak adil dengan membantu semua golongan termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), anak-anak baru kelahiran negeri ini, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar emas dengan memberikan bantuan setiap tahun dan bukannya lima tahun sekali.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal apabila terdapat dua buah sekolah yang pada mulanya enggan memberikan kerjasama, namun, mereka akhirnya akur apabila Kerajaan Negeri meminta bantuan daripada Pengarah Pelajaran bagi menasihati kedua-dua buah sekolah terbabit.

“Perkara seperti ini sepatutnya tidak boleh berlaku kerana sebagai sebuah kumpulan profesional, seharusnya segala tindakan dan keputusan yang dilakukan juga mestilah profesional,” tegas Ketua Menteri lagi.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa penguasaan pendidikan merupakan senjata utama bagi memerangi kemiskinan. Beliau berharap agar tahun 2012 memberikan keazaman dan pemangkin semangat kepada semua pelajar untuk terus berjuang bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran masing-masing.