6 tadika Islam terima televisyen android

Admin

GEORGE TOWN – Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, penggunaan peralatan berteknologi moden dalam dunia pendidikan dilihat dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan satu usaha membangunkan generasi alaf baru seiring dengan pembangunan yang kian pesat kini.

 

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

“Misalnya pelaksanaan Kaedah Pendidikan Abad Ke-21 (PAK-21) dapat dicapai dengan menyediakan kemudahan prasarana dan keupayaan capaian internet berkelajuan tinggi.

 

(Hal ini dikatakan demikian kerana) ia dapat menyokong inspirasi negara untuk melahirkan generasi yang menguasai bidang ilmu sejajar kemajuan teknologi semasa.

 

“(Dan, dalam hal ini) Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong mana-mana pihak yang tampil membantu membangunkan sistem dan persekitaran pendidikan yang kondusif terutama di peringkat pra-sekolah.

 

“Walaupun, kini banyak aktiviti pendidikan terpaksa dihentikan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun dengan kemajuan teknologi ia dapat direalisasikan dalam bentuk baharu,” jelasnya.

 

Ahmad Zakiyuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Televisyen Android Kepada Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 di Komtar, hari ini.

 

Turut berucap, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zahar Zainul.

 

Sebanyak enam TADIS dipilih sebagai peneraju menggunakan televisyen android bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran sama ada secara strim video di rumah mahupun secara bersemuka.

 

Selain TADIS Masjid Negeri yang terletak di Jalan Air Itam, turut menerima sumbangan tersebut adalah TADIS Madrasah Al-Hidayah Ad-Diniah, Balik Pulau; TADIS Surau Taman Kuala Bekah, Penaga; TADIS Madrasah Attahzibiah Adiniah Al-Islamiah, Butterworth; TADIS Sri Tuan Abdullah, Bukit Mertajam dan TADIS Al-Amin, Nibong Tebal.

 

Sumbangan disampaikan oleh Ahmad Zakiyuddin selaku Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti diiringi Mohd. Zakuan dan Zahar.

 

Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIPP, Rosli Othman; Pegawai-pegawai Tadbir Daerah serta wakil-wakil daripada TADIS.

 

Difahamkan, televisyen android tersebut adalah sumbangan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui agihan pendidikan Islam.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN