Langgar had harga rumah, kemuka semula permohonan – Exco

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) diminta mengemukakan semula permohonan pembangunan projek-projek yang didapati melanggar had harga ditetapkan Kerajaan Negeri iaitu RM400,000 untuk rumah mampu milik di bahagian pulau dan Seberang Perai (RM250,000) di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika mengulas hasil sesi pertemuannya dengan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, kata Jagdeep, sebanyak 15 projek iaitu tujuh membabitkan PERDA dan JKPSB (8) telah dibincangkan.

Jelasnya, permohonan semula pembangunan tersebut adalah melibatkan empat projek iaitu masing-masing dua projek membabitkan kedua-dua agensi Kerajaan Pusat berkaitan.

“Mereka (PERDA dan JKPSB) perlu menghantar surat permintaan rasmi dengan justifikasi dan alasan terperinci kepada kita (Kerajaan Negeri) sebelum 15 Januari depan.

“Kita akan meneliti dan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) yang akan datang untuk membuat keputusan,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Difahamkan, pertemuan tersebut yang dijalankan beberapa minggu lalu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Abu Jamal Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad.

Turut serta, pegawai-pegawai dari Jabatan Perumahan Negeri, JKPSB dan PERDA.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas berhubung justifikasi perumahan kos rendah, sederhana rendah di mana-mana tanah dan projek yang hendak dibina.

“Jika mereka (PERDA dan JKPSB) dapat buktikan bahawa tanah yang diperoleh adalah melalui proses pengambilan semula, Kerajaan Negeri bersedia menimbang permohonan mereka (PERDA dan JKPSB) untuk perumahan kos rendah dan sederhana rendah.

“Sebaliknya, jika tidak melalui pengambilan semula, kita (Kerajaan Negeri) hanya akan pertimbangkan permohonan mereka (PERDA dan JKPSB) untuk bina rumah tidak melebihi harga siling yang telah ditetapkan di negeri ini,” tegas Jagdeep.

Pada majlis sama, Jagdeep turut menyampaikan cek sumbangan sejumlah RM573,000 daripada Program HAPPY! (Housing Assistance Programme Penang YES!) kepada wakil penduduk Taman Pangsapuri Indah, Teluk Air Tawar, Pidzon Jayaha sebagai peruntukan membaikpulih dua blok bangunan di taman tersebut.