62 sukarelawan jayakan projek ‘Keep Penang Clean’

BAYAN LEPAS – Seramai 62 sukarelawan menyertai projek ‘Keep Penang Clean’ pada 24 Ogos lalu bagi membersihkan kawasan di sekitar Pantai Teluk Bayu dekat sini.

 

Pengarah Penggerak Komuniti Muda (PEKA) Pulau Pinang, Joshua Woo Sze Zeng berkata, projek secara gotong-royong yang julung kali diadakan itu merupakan projek di bawah inisiatif baharu iaitu ‘Penang Volunteer‘.

 

“Inisiatif ‘Penang Volunteer‘ ini dilahirkan melalui visi PEKA yang ingin memupuk semangat kesukarelawan dan cintakan tanah air dalam kalangan penduduk di Pulau Pinang.

 

“Ia juga menyediakan platform kepada mana-mana individu yang berminat untuk menyumbang bakti, menggembleng tenaga dan buah fikiran dalam kerja-kerja kemasyarakatan di negeri ini.

 

ANTARA sukarelawan yang pertama kali menyertai program di bawah inisiatif ‘Penang Volunteer’.

“(Dan) projek ‘Keep Penang Clean‘ – Beach Clean Up merupakan projek pertama di bawah inisiatif ini dengan bermatlamatkan untuk membersihkan kawasan-kawasan awam di negeri ini secara bulanan,” katanya melalui siaran media bertarikh 25 Ogos 2019.

 

Projek pertama ini turut dijayakan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Saiful Azwan Abd. Malik dan Kafe Black Kettle yang menyediakan sarapan pagi kepada para sukarelawan.

 

Difahamkan, sebanyak 719.6 kilogram (kg) sampah-sarap berjaya dipungut yang mana 236.6kg daripada adalah sisa plastik, 22kg sisa kertas, kaca (7kg) dan selebihnya campuran pelbagai jenis sisa.

 

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif ‘Penang Volunteer‘ atau berminat untuk menyertainya, sila hubungi Pengarah Program, Muhammad Zikri Zulkifli melalui WhatsApp 013-500 0433 atau talian 04-226 5187 (sambungan 232) atau melalui emel [email protected].

 

SEBELUM gotong-royong dijalankan keadaan persekitaran Pantai Teluk Bayu penuh dengan sisa buangan.
KEADAAN selepas gotong-royong selesai.

Gambar : PEKA Pulau Pinang