Koperasi Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Melayu Pulau Pinang Berhad serah memorandum kepada Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Koperasi Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Melayu Pulau Pinang Berhad memohon sumbangan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk membina semula bilik air untuk kebajikan anggota pertubuhan tersebut di Sungai Nibong.

Pengerusinya, Mohamad Yusoff S. Ibrahim memberitahu bahawa bilik air yang dibina oleh pertubuhan sebelum ini telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) beberapa tahun lepas kerana dikenal pasti sebagai struktur binaan tanpa kebenaran.

“Kita memang perlu sebuah bilik air memandangkan kita memberi perkhidmatan teksi dan kereta sewa 24 jam sehari kepada pelanggan-pelanggan yang turun bas di Hentian Bas Ekspress Sungai Nibong, sama ada warganegara juga pelancong asing.

“Kami memang memerlukan bilik air seperti sebelumnya ini,” jelasnya ketika mengadakan kunjungan hormat bertemu Kon Yeow di Komtar pada 27 Ogos 2019.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri dan beberapa pemimpin pertubuhan koperasi berkenaan.

Serentak itu, Mohamad Yusoff turut menyerahkan memorandum bertulis kepada Kon Yeow agar memberi tumpuan kepada beberapa isu ekonomi serta kebajikan membabitkan anggota pertubuhan koperasi berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD