80 pelajar terima basikal sumbangan Ahli Parlimen Balik Pulau

Admin
MOHD. Tuah Ismail (batik kelabu) Sabarullah Ismail (dua dari kiri) menyerahkah sebahagian basikal di SKTB baru-baru ini.

TELUK BAHANG – Seramai 40 pelajar terpilih daripada KADUN Teluk Bahang dan Bayan Lepas menerima basikal sumbangan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail mewakili Muhammad Bakhtiar yang tidak dapat hadir kerana komitmen lain di ibu negara.

Ketika ditemui Mohd. Tuah memaklumkan bahawa sumbangan tersebut merupakan suatu galakan kepada pelajar terpilih untuk ke sekolah.

“Selain itu, ia juga akan memudahkan pergerakan mereka ke sekolah kerana bukan senang untuk menyuruh anak-anak ke sekolah sekarang ini, jadi dengan sumbangan ini diharap memberi galakan untuk mereka ke sekolah.

“Begitu juga ke masjid, kalau nak galakkan anak muda ke masjid kenalah banyakkan program berteraskan anak muda, kalau tidak hanya tinggal golongan emas sahaja di masjid,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Bahang baru-baru ini.

Hadir sama, Guru Besar, Sabarullah Ismail dan kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bahang.

Majlis serupa turut diadakan di SK Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

Selain sumbangan basikal, kedua-dua sekolah turut menerima RM10,000 daripada peruntukan Muhammad Bakhtiar bagi tujuan pembangunan hal ehwal pelajar.

Dalam pada itu, di SK Teluk Bahang, Mohd. Tuah turut berkesempatan merasmikan ‘Smart and Easy Table’, iaitu inisiatif meringankan beg sekolah para pelajar.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI