Kupon parkir 40 sen sejam, kenapa tidak ikut peraturan, soal YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam tempoh antara September 2018 hingga 22 Februari 2019 telahpun menunda sebanyak 59 kenderaan yang mempunyai rekod tunggakan lebih 10 kompaun.
Yang di-Pertua Majlis, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, pentadbirannya turut menganjurkan program promosi potongan 50 peratus kompaun selama sebulan pada Ogos tahun lalu demi menggalakkan warga Seberang Perai mematuhi peraturan berwajib di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Namun, katanya, pendekatan itu seakan-akan tidak banyak mengubah tabiat penduduk Seberang Perai, untuk menggunakan kupon parkir yang sebenarnya sangat mudah untuk dibeli di tempat-tempat awam.
“Walaupun kita sudah ambil tindakan tegas, termasuklah menunda kenderaan serta anjur publisiti potongan bayar kompaun… tapi kalau dilihat pada 87,039 kompaun baru yang baru dikeluarkan ini, nampaknya penduduk Seberang Perai tidak ada perubahan sikap.
“Saya amat kecewa, kenapa tidak ada perubahan?
“Saya harap masyarakat beritahu saya kenapa tidak boleh ikut peraturan, kupon parkir kita hanya 40 sen sejam,” jelasnya kepada pemberita, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada 25 Februari 2019.
Justeru, katanya, Kerajaan Negeri melalui MPSP sedang mempertimbang cadangan pelaksanaaan sistem parkir pintar, kelak.
“Untuk menyelesaikan semua masalah ini, pertama sekali sistem ‘Smart Parking’ ini akan diumumkan oleh Kerajaan Negeri dan pengumuman lanjut akan dibuat oleh Y.A.B. Ketua Menteri Tuan Chow Kon Yeow nanti,” jelasnya.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS