80% pokok seliaan MBPP sihat, kata Pengarah Jabatan Landskap

PADANG KOTA – Bagi mendapatkan status maklumat berkenaan pokok di seluruh kawasan seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Landskap pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit kini giat melaksanakan inventori terhadap lebih 10,000 pokok teduhan (di bahu jalan) bagi tahun 2017 di sini.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, kerja-kerja melaksana, mengurus serta menyiapkan data inventori, penilaiaan risiko pokok dan penilaian ekonomi pokok (PTE) sebenarnya telah dimulakan sejak 2013.

“Justeru, pelaksanaan kerja-kerja ini juga adalah sebagai salah satu keperluan sokongan Perintah Pemeliharaan Pokok (Bahagian V(A) Akta 172) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (1976).

“Hingga kini, sebanyak 4,200 pokok telah diinventori dan pada 2017, sebanyak 6,000 pokok lagi akan diinventori bermula pada suku keempat tahun yang sama (2017).

“Ini adalah penting bagi mengenal pasti jenis pokok, bilangan, lokasi dan kedudukan, saiz, status kesihatan semasa serta keperluan penyelenggaraan untuk setiap pokok selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih, hijau, sihat dan selamat,” katanya pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 08 Tahun 2017 dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis bagi MBBP dan Pengarah Jabatan Landskap MBPP, Nor Rezan Sulaiman.

Dalam pada itu, menurut Nor Rezan, dalam menjayakan inisiatif berkaitan, MBPP telah mewujudkan sistem PeTIS (Penang Tree Informatin System) yang menyediakan platform penyimpanan data inventori pokok dalam satu pengkalan data secara sistematik dan selamat.

“Sistem ini juga menyediakan peta pokok berdigital bagi menunjukkan lokasi pokok atau kelompok (pokok) yang tertakluk kepada Pemerintah Pemeliharaan Pokok,” jelasnya.

Tambah Nor Rezan, difahamkan, hasil inventori awal mendapati bahawa 80 peratus pokok seliaan MBPP berada dalam keadaan sihat, baki 20 peratus memerlukan penjagaan dan perhatian khas.

“Jumlah 20 peratus itu adalah melibatkan pokok yang lazimnya berusia 80 hingga 100 tahun ke atas,” ujar beliau.