Taman Grafiti kanvas anak muda lakar karya

KANVAS LAKARAN… Panel-panel dinding membabitkan kawasan seluas 750 kaki yang didirikan dekat Taman Grafiti di sini menjadi kanvas buat anak-anak muda menunjukkan bakat lakaran masing-masing.

Dinding-dinding membabitkan kos RM150,000 tersebut adalah inisiatif bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Rotary Tanjung Bungah dalam membasmi serta membendung kegiatan vandalisme kini.

Menurut Pensyarah Kanan Unit Guru Jabatan Bahasa Inggeris, Institut Pendidikan Malaysia Kampus Pulau Pinang, R. Letchumiprabah, selepas dinding-dinding tersebut siap dilakar, ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan MBPP.

“Selepas tiga bulan, dinding-dinding panel ini akan dicat putih semula bagi memberi laluan dan ruang kepada pertubuhan, sekolah ataupun persatuan lain melakarkan karya mereka,” jelasnya yang ditemui pada Program Mengecat Tembok Grafiti di sini baru-baru ini.

Bertemakan sambutan Kemerdekaan negara, sejumlah pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Pulau Pinang menunjukkan bakat reka corak masingmasing, yang kemudiannya diterjemahkan di atas tembok bercat kapur.

Taman Grafiti merupakan salah satu tarikan di Taman Bandaraya sejak tahun 2012.