90 OKU kurang penglihatan terima sumbangan sempena Aidilfitri

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 90 orang kurang upaya (OKU) penglihatan menerima sumbangan pek makanan asas berserta duit raya daripada Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama OKU 2021 anjuran persatuan berkenaan dekat Pusat Belia Lebuh Acheh di sini sebentar tadi.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Kon Yeow berkata bahawa sepanjang lapan tahun menganjurkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang ternyata telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap golongan OKU.

Chow Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama OKU 2021 anjuran Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang.

“Selain itu, pihak persatuan juga difahamkan turut mengadakan pelbagai program berbentuk keagamaan, sosial, pendidikan dan sukan untuk merapatkan lagi hubungan ahli-ahli dengan golongan OKU di negeri ini.

“Syabas diucapkan kepada presiden (Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang) serta pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai rakan kerjasama kerana tidak pernah rasa penat menyalurkan bantuan kepada golongan istimewa tersebut di negeri ini,” ujarnya pada majlis tersebut.

Hadir sama, Presiden Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang, Swarn Singh; Ahli Majlis bagi MBPP, Datuk Dr. Shahrul Hameed; Pengarah Pelita Samudera Pertama (M) Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Aswan Seeni Mohamed Bizalath serta wakil Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin.

Menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menggesa semua rakyat di negeri ini supaya sentiasa prihatin terhadap keadaan penularan COVID-19 dengan peka dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengangarkan bahawa pada akhir Mei ini kita mungkin berhadapan dengan kes melebihi lima angka iaitu lebih 10,000 kes.

“Justeru, aktiviti sosial dan seumpamanya yang boleh menyebabkan peningkatan jangkitan kes COVID-19 perlu dihentikan atau dikurangkan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, kita akan sentiasa memantau keadaan dan berharap agar rakyat dapat memainkan peranan sama,” serunya.

Dalam pada itu, Shahrul Hameed memberitahu bahawa penganjuran program tahunan tersebut adalah untuk merai serta menggembirakan golongan OKU penglihatan selain membantu mengurangkan beban hidup mereka.

“Di kesempatan ini juga, saya menyeru agar lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menjalankan tanggungjawab sosial bagi mengurangkan beban golongan yang memerlukan di negeri ini,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD
Video : LAW SUUN TING