SEBERANG JAYA – Penyertaan sebanyak 92 buah sekolah dalam Anugerah Sekolah Hijau 2026 peringkat Seberang Perai membuktikan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar semakin mendapat tempat dalam kalangan warga pendidikan.
Jumlah penyertaan itu meningkat sebanyak 77 peratus berbanding 52 sekolah pada tahun 2025, melibatkan 57 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah.
Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Mohd. Ibrahim Md Nor berkata, peningkatan tersebut mencerminkan keberkesanan program tahunan MBSP yang diperkenalkan sejak 2010 dalam membudayakan amalan hijau secara menyeluruh di sekolah.
Menurutnya, pelaksanaan program Program Transformasi Sekolah ke Arah Lestari (TASKAL) secara serentak dengan Anugerah Sekolah Hijau turut membuka peluang kepada lebih banyak sekolah untuk menyertai inisiatif berkenaan.
“Anugerah Sekolah Hijau bukan sekadar pertandingan untuk menentukan sekolah terbaik, sebaliknya merupakan usaha membentuk generasi yang memahami bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar bermula daripada amalan seharian.
“Perubahan yang kelihatan kecil seperti menjimatkan elektrik, menggunakan air secara berhemah dan mengurangkan sisa mampu membawa kesan besar apabila diamalkan secara konsisten,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2026 peringkat Seberang Perai di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Ketua Bahagian Alam Sekitar, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Aumovio Components (Malaysia) Sdn. Bhd., Zarinah Yusof; Pengarah Perkhidmatan Pembandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin; ketua-ketua jabatan dan para pegawai MBSP.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Aumovio Components (Malaysia) Sdn. Bhd. atas kerjasama strategik dan tajaan penuh hadiah bernilai hampir RM30,000 bagi menjayakan program berkenaan.
Katanya, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak syarikat dalam menyokong pendidikan serta pembudayaan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penilaian Anugerah Sekolah Hijau bukan hanya tertumpu kepada aspek kebersihan dan penghijauan, malah merangkumi penjimatan tenaga elektrik, pemuliharaan air, pengurusan sisa, inovasi, keusahawanan, penglibatan komuniti serta pendekatan digital.
“Kelestarian alam sekitar bukan sekadar menjaga kebersihan, tetapi turut melibatkan cara kita berfikir, menguruskan sumber dan bertindak.
“Sekolah Hijau bukan sekadar sekolah yang dipenuhi pokok, tetapi sekolah yang berjaya melahirkan generasi berfikiran hijau,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap sekolah yang menyertai pertandingan diwajibkan mempunyai kelab alam sekitar atau kelab khusus berkaitan kelestarian alam sekitar, selaras dengan syarat penyertaan yang dikuatkuasakan sejak 2024.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan aktiviti pemeliharaan alam sekitar terus dilaksanakan secara konsisten dan tidak terhenti sebaik sahaja pertandingan berakhir.

Tambah beliau, usaha berkenaan selari dengan aspirasi MBSP untuk menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya rendah karbon, berdaya huni, mampan dan hijau.
“Perancangan pembangunan serta penyediaan kemudahan yang baik sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran dan kerjasama masyarakat.
“Justeru, penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan usaha memelihara alam sekitar dapat diteruskan demi kesejahteraan bandar raya ini,” katanya.
Sementara itu, Zarinah berkata bahawa sejak 2010, syarikat berkenaan menjadi penaja utama program Anugerah Sekolah Hijau dengan kerjasama rapat MBSP bagi mengiktiraf kreativiti, usaha dan pencapaian sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.
“Setiap tahun, program ini mengingatkan kita bahawa perubahan besar sering bermula dengan langkah kecil seperti mengitar semula botol, menanam pokok serta melaksanakan kempen kesedaran alam sekitar yang digerakkan oleh pelajar dan guru.
“Apabila usaha-usaha ini digabungkan dan dilakukan secara berterusan, hasilnya mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, tahun 2026 merupakan tahun yang amat membanggakan bagi program Anugerah Sekolah Hijau, khususnya melalui pencapaian kutipan bahan kitar semula yang melebihi 250 tan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, kertas mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak 65 peratus, diikuti plastik (11 peratus), aluminium dan tin (hampir sembilan peratus), sisa elektronik (enam peratus), kotak minuman (lima peratus), minyak masak terpakai (hampir empat peratus) serta pakaian (0.68 peratus).
Jelasnya, jumlah tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan ribuan tindakan positif yang dilaksanakan oleh pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti dalam mengurangkan sisa buangan serta memberi kehidupan baharu kepada bahan yang boleh dikitar semula.
“Setiap bahan yang dikitar semula mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa kita semua mempunyai peranan dalam memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Pertandingan pada tahun ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Air Tawar dinobatkan sebagai johan bagi kategori sekolah menengah, diikuti SMK Kampong Kastam sebagai naib johan dan SMK Datuk Onn di tempat ketiga.
Bagi kategori sekolah rendah pula, Sekokah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng dinobatkan sebagai johan, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puyu sebagai naib johan dan SK Bandar Baru Perda di tempat ketiga.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN