Acara rakyat ceriakan Sungai Acheh

MOHD. Kamil Abu Bakar (dua dari kanan) bersama para peserta program BakMas sedang membersihkan kawasan sekitar di sini baru-baru ini.
MOHD. Kamil Abu Bakar (dua dari kanan) bersama para peserta program BakMas sedang membersihkan kawasan sekitar di sini baru-baru ini.

SUNGAI ACHEH – Sempena sambutan Israk Mikraj baru-baru ini, bertempat di Dewan JKKK Kampung Haji Omar, Nibong Tebal telah diadakan Program Bantuan Fakir.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Acheh, Mohd. Kamil Abu Bakar, program tersebut adalah bertujuan untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada ibu-ibu tunggal, warga kelainan upaya (OKU) dan penduduk setempat yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan.

Turut diadakan dalam majlis yang sama adalah penyampaian sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 10 murid yang kurang berkemampuan. Sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukkan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pendidikan di negeri ini.

Selain itu, Program Bakti Masyarakat (BakMas) yang melibatkan kawasan Welleslet dan Ladang Transkrian turut dilangsungkan. Program BakMas merupakan program berbentuk kemasyarakatan dan lazimnya melibatkan aktiviti seperti gotong-royong dan pengedaran risalah cetakan Kerajaan Negeri.

Di samping itu, tambah Mohd. Kamil, kawasan DUN tersebut juga mempunyai pasukan bola sepaknya sendiri dan baru-baru ini telah diadakan majlis penyampaian jersi rasmi kepada Ketua Pasukan, Kamisan Tume yang juga merupakan bekas Ketua Pasukan Liga Pulau Pinang.