Penduduk DUN Pulau Betong muhibah

 

PULAU BETONG – Program Komuniti ‘Cleaner Greener Penang’ bersama penduduk Kampung Titi Teras, anjuran bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pejabat Penyelaras KADUN Pulau Betong dan JKKK Titi Teras telah diadakan dalam suasana harmoni dan penuh warna-warni.

Majlis tersebut turut menerima kehadiran Pengerusi Jawaankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abd. Halim Hussain dan Yang Dipertua MPPP; Patahiyah Ismail.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, program tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran akan pentingnya kebersihan dalam menghijaukan serta menceriakan persekitaran selaras dengan seruan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang lebih bersih dan hijau. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam kalangan penduduk setempat.

Sementara itu, selain program komuniti, turut diadakan adalah Karnival Harmoni Peringkat DUN Pulau Betong yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman. Karnival yang julung kali diadakan di Pulau Betong ini turut membabitkan pameran alam sekitar, sukaneka rakyat dan keraian rakyat.

Pada majlis sama, sumbangan basikal kepada murid-murid yang kurang berkemampuan turut dijalankan dan disempurnakan oleh Mansor.