ADUN ajak komuniti amal 10,000 langkah sehari

SERI DELIMa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer mengajak komuniti Seri Delima khususnya mengamalkan kualiti hidup yang sihat dengan 10,000 langkah sehari.

“Amalan 10,000 langkah sehari ini penting untuk penjagaan kesihatan kerana kita tidak mahu apabila sakit baru timbul kesedaran perlunya menjaga kesihatan.

“Kesihatan merupakan salah satu aspek kualiti hidup yang baik, jadi untuk kesihatan yang baik kita perlu bersenam dan jadikan amalan harian, bukan setahun sekali sahaja buat,” katanya.

Beliau bersama kira-kira 30 orang komuniti Island Park turut meluangkan masa seawal jam 7 pagi berjalan 10,000 langkah dalam usaha menggalakkan komuniti setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ini merupakan salah satu kempen ke arah amalan gaya hidup yang aktif dan mudah dilakukan di mana-mana sahaja.

“Ianya mudah, murah dan selamat dengan berjalan kaki sekurang- kurangnya 10,000 langkah sehari dapat membendung masalah kesihatan seperti berat berlebihan, sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya,” katanya yang turut berharap agar amalan ini dapat dilaksanakan bersama keluarga.