ADUN Berapit syor jaminan kadar harga pusat penjagaan kanak-kanak yang berpatutan

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mencadangkan penyediaan pusat penjagaan anak pada kadar harga yang berpatutan dalam  meringankan beban para ibu, terutamanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu isu tersebut timbul kerana terdapat para ibu yang ingin kembali bekerja menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam menjamin penjagaan yang terbaik.

“Para ibu yang ingin kembali bekerja menghadapi cabaran dalam menguruskan hal penjagaan anak, ditambah pula bagi yang mempunyai bayi yang masih kecil, kadar harga penjagaan boleh melambung tinggi sehingga menyebabkan kekangan wang.

“Faktor lain pula, terdapat pusat penjagaan kanak-kanak yang jauh tetapi berpatutan hingga menyukarkan rutin seharian.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan sektor swasta untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan anak dan meninjau semula piawaian pendaftaran taska keluarga,” katanya semasa membahaskan Bajet 2024 Negeri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan bahawa sokongan kewangan, perubahan garis panduan pendaftaran, sokongan kesihatan mental, dan program kesedaran juga boleh diwujudkan dan dipergiatkan untuk membantu wanita untuk mengatasi cabaran pada masa ini. 

Tambah Lee Lee, diharapkan inisiatif Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan diteruskan lagi agar boleh memanfaatkan pengusaha taska dan juga tadika.

“Usaha ini wajar dipergiatkan lagi pada masa akan datang bagi memanfaatkan seramai 592 kanak-kanak di 124 taska dan tadika seluruh negeri, secara tidak langsung ia akan mendorong pengusaha (taska dan tadika) untuk memantapkan lagi perkhidmatan sosial sekaligus memastikan kualiti pendidikan sentiasa terjamin.

“Di samping itu, usaha ini dilihat mampu meringankan beban para ibu terutamanya kerana tidak perlu lagi khuatir tentang penjagaan anak mereka apabila keluar bekerja. Saya ingin menghapuskan stigma apabila seorang wanita semakin meningkat usia, semakin sikit peratusan wanita yang bekerja,” ulasnya lanjut.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD