Klinik Kesihatan Pinang Tunggal dalam perancangan pembinaan- Exco

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) masih dalam perancangan untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan (KK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

“Perancangan sedemikian memerlukan kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Kewangan (MoF).

“Namun demikian, Skim Perubatan Madani telah diperkenalkan di semua daerah di negeri ini melibatkan semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) secara tidak langsung layak untuk mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta yang telah berdaftar.

“Selain itu, bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula, sebanyak 19 klinik perubatan swasta kini menawarkan Skim Perubatan Madani dan angka ini dijangka meningkat dengan penglibatan lebih banyak klinik perubatan swasta setempat dan berupaya memanfaatkan penduduk di KADUN Pinang Tunggal pada keseluruhannya,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Zi Sen berkata penambahan anggota kesihatan terutamanya doktor perlu dilaksanakan di peringkat JKNPP dan KKM.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan kadar nisbah doktor berbanding penduduk adalah pada kadar 1:500.

“Untuk makluman juga, jumlah nisbah doktor berbanding penduduk di Pulau Pinang adalah sebanyak 1:405, oleh hal yang demikian perancangan bagi penambahan perkhidmatan kesihatan termasuk dari segi penambahan anggota kesihatan perlu diperhalusi oleh pihak-pihak yang berkaitan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Ganbar : SITI NURATIKAH RAHMAT