ADUN gesa pantau aktiviti paracut haram

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya segera memantau aktiviti paracut haram di sekitar pantai negeri ini yang sebelum ini telah mencederakan seorang kanak-kanak, Odell Choo, 11.

Menurut Hon Wai, ekoran kejadian tersebut, Odell mengalami kecederaan pada leher, bahu dan siku apabila paracut yang sedang mendarat membidas bahagian lehernya sehingga menyebabkannya terjatuh.

“Kejadian ini berlaku pada musim cuti sekolah yang lalu, mengapa PBT tidak menguatkuasakan aktiviti paracut haram ini?

“Sekiranya berlarutan dan dibiarkan berleluasa, ia mampu menjejaskan industri pelancongan Pulau Pinang, malah, saya akan membawa usul ini untuk dibahaskan pada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) akan datang,’’ tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, mangsa yang ditemani bapanya, S.W Choo. Hon Wai memberitahu, Odell agak bernasib baik kerana hanya mengalami luka ringan berbanding kes sebelum ini yang membawa maut.

Sebagai tindakan lanjut, Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri turut menyatakan bahawa beliau akan menulis surat kepada Bahagian Penasihat Undang-undang Negeri bagi memaklumkan perkara berkaitan.

“Ini adalah bagi memastikan keselamatan orang awam yang sedang bercuti di kawasan seperti ini (pantai) akan lebih terpelihara dan selamat daripada insiden seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow gagal dihubungi bagi mengulas lanjut kejadian tersebut.