Kempen ‘Penang Sihat’ galak rakyat jaga kesihatan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU BETONG – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah portfolio Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan melancarkan kempen ‘Penang Sihat’ secara besar-besaran bermula Januari lalu dalam usaha mendidik orang ramai menjaga kesihatan masing-masing.

Exconya, Dr. Afif Bahardin ketika ditemui berkata, kempen itu juga bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat berkaitan bahaya penyakit NCD (Non- communicable Diseases) seperti diabetes, Mellitus, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

“Dalam kempen ini, kita akan mewujudkan kesedaran mengenai keperluan menjaga kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan amalan berjalan 10,000 langkah sehari.

“Sebagai permulaan, program-program sebegini telahpun dilaksanakan di setiap KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) di seluruh Pulau Pinang dan respons daripada rakyat amat memberangsangkan,” katanya sejurus selepas merasmikan Program Jelajah Penang Sihat @ Pulau Betong anjuran bersama Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pulau Betong dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, penerimaan dan sambutan daripada masyarakat setempat amat menggalakkan dan akan meneruskan lagi beberapa siri kempen Penang Sihat setiap tiga bulan sekali.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Tuah turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 40 penerima zakat sempena Ramadan ini.